OPINI

ARTIKEL

KHASANAH

MOZAIK

NASIONAL

INTERNATIONAL

.

.

Rabu, 05 Juli 2017

Makanan Berkhasiat yang Disebut Dalam Al-Qur’an dan Hadits

Makanan Berkhasiat yang Disebut Dalam Al-Qur’an dan Hadits

“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu, maka tidaklah ia berdosa), sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [Surah An-Nahl : ayat 115]

 “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.” [Surah Al-Baqarah : ayat 172]

Kemudian, Rasulullah S.a.w bersabda, “Sesiapa yang diberi makan oleh Allah, hendaklah dia membaca:

اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ ، وَأَطْعِمْنَا خَيْرًا مِنْهُ

“Ya Allah, berkatilah kami pada makanan ini dan kurniakanlah kepada kami makanan yang lebih baik daripada ini”.

Rasulullah S.a.w menyambung, “Sesiapa yang diberi minum susu oleh Allah, hendaklah dia membaca:

اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ ، وَزِدْنَا مِنْهُ

“Ya Allah, berkatilah kami pada minuman ini dan tambahlah minuman ini untuk kami”.

Rasulullah S.a.w juga bersabda, “Tidak ada satu pun makanan atau minuman yang dapat menghilangkan lapar dan dahaga sebaik susu.” [HR At-Turmudzi & Abu Dawud. Hadis hasan, dari Ibnu ‘Abbas]

نهى عن أكل الجلالة وألبانها

“Rasulullah S.A.W melarang makan binatang yang memakan najis dan meminum susunya.” [HR al-Hakim dan at-Turmudzi , dari Ibnu ‘Umar]

Makanan-makanan berkhasiat yang disebut dalam Al-Quran dan Al-Hadits

1. Makan Buah Terlebih Dahulu Sebelum MakanDaging
Kenyataan al-Quran menyebut buah-buahan terlebih dahulu sebelum daging, dalam rujukan luar biasa untuk erti yang sebelumnya apabila menangani keadaan orang yang beriman dalam syurga;

“Dan juga (dibawakan kepada mereka) buah-buahan dari jenis-jenis yang mereka pilih. Serta daging burung (ayam) dari jenis-jenis yang mereka ingini.” [Surah Al-Waqi’ah : ayat 20 – 21]

Memakan buah-buahan sebelum memakan makanan asasi sangat bermanfaat kerana buah-buahan mengandungi gula rendah kalori yang mudah dicerna dan diserap.

Ia membolehkan usus kita mampu menyerap gula ini dalam masa yang singkat berbanding dengan mereka yang memakan makanan tanpa dimulakan dengan buah-buahan terlebih dahulu. Usus memerlukan kira-kira 3 jam untuk menyerap gula. [Dr. Abdullah Abd. Hamid Diyab dan Dr. Ahmad Qurquz – Ma’a ath-Thibb fil Quran al-Karim]

2 . Labu (Yaqthin)
Labu adalah antara sayur-sayuran yang disebutkan oleh nabi Muhammad SAW. Hadits dari Bukhari menyebut bahawa Anas Ibn Malik berkata,

“Seorang tukang jahit telah mengundang Rasulullah S.A.W untuk makan apa yang dia telah sediakan, dan saya pergi bersama-sama dengan Rasulullah S.A.W. Tukang jahit itu menghidangkan roti gandum serta kuah berisi labu dan daging awet. Saya melihat Nabi Muhammad S.A.W memilih kepingan labu dari seluruh hidangan, dan sejak itu saya telah terus sukakan labu”.

“Dan Kami tumbuhkan (untuk melindunginya) sebatang pokok yang berdaun lebar (labu).”[Surah As-Shaaffat – ayat 146]

Labu bersifat dingin dan lembab, rendah kalori, mudah meninggalkan perut sekalipun ia belum hancur sebelum dicerna. Di antara khasiatnya, ia menghasilkan campuran yang baik. Jika dimakan dengan biji sawi, menimbulkan rasa sedikit pedas.

Ia lembut dan banyak mengandungi air, baik untuk orang yang suhu badannya panas dan tidak sesuai untuk orang yang suhu badannya rendah dan dingin. Ia merawat panas, demam dan pening kepala jika diminum perahannya dan lembut di perut.

Jika direbus dan airnya diminum dengan campuran madu, boleh menghasilkan banyak cairan tubuh. Secara keseluruhan, labu merupakan makanan yang paling lembut, empuk dan cepat reaksinya. [Imam Ibnu Qayyim – Zaadul Ma’ad, Perubatan ala Nabi]

3. Pisang (Mauz)
“Mereka bersenang-lenang di antara pohon-pohon bidara yang tidak berduri. Dan pokok-pokok pisang yang tersusun rapi buahnya.” [Surah Al-Waqi’ah : ayat 28 – 29]

Sila baca juga Merawat kulit muka menggunakan kulit pisang

4. Zaitun
“Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah “misykaat” yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu – dengan sendirinya – memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayahNya itu; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” [Surah An-Nuur : ayat 35]

“Dan pohon kayu (pohon zaitun) yang keluar dari Thursina, yang menghasilkan minyak, dan lauk bagi orang-orang yang makan.” [Surah Al-Mu’minuun : ayat 20]

“Demi buah tiin dan zaitun. Dan demi bukit Sinai.” [Surah At-Tiin : ayat 1 – 2]

“Makan dan berminyaklah dengan zaitun kerana ia berasal dari pohon yang diberkati.” [HR Tirmidzi]

Minyak Zaitun boleh menutup liang roma tubuh dan mencegah zat yang masuk melaluinya. Jika digunakan setelah mandi air panas, minyak zaitun akan memperbaiki dan melembabkan badan. Jika digunakan sebagai minyak rambut, akan menjadikan rambut indah dan panjang. Minyak Zaitun juga berkhasiat untuk mengubati campak dan berbagai penyakit lainnya. [Imam Ibnu Qayyim – Zaadul Ma’ad, Perubatan ala Nabi]

5. Cuka (Khal)
“Sebaik-baik hidangan ialah khal (cuka). Ya Allah berkatilah pada khal (cuka). Sesungguhnya ia adalah makanan para nabi sebelum aku. Tidak akan dilanda kemiskinan rumah yang ada khal (cuka).” [HR Muslim 2052, Ibnu Majah 3318]

“Sebaik-baik yang dicampur dalam hidangan adalah cuka.” [HR Muslim]

Khal (cuka) lebih dominan dengan sifatnya yang dingin, meskipun juga memiliki sifat panas. Ia bermanfaat untuk meneutralkan ubat-ubatan yang merbahaya, menguraikan susu dan darah jika mengental dalam tubuh, membersihkan usus, menguatkan perut, menghilangkan rasa haus, mencegah pembengkakan, melunakkan makanan yang keras dan menjernihkan darah. Jika diminum dengan garam, boleh melawan racun jamur dan menghilangkan darah menempel di tekak mulut jika dibuat berkumur. [Imam Ibnu Qoyyim – Zaadul Ma’ad, Perubatan ala Nabi]

6 – Kurma (Tamr / Ruthob)

“Dan di bumi ini terdapat bahagian-bahagian yang berdampingan, dan kebun-kebun anggur, tanaman-tanaman dan pohon kurma yang bercabang dan yang tidak bercabang, disirami dengan air yang sama. Kami melebihkan sebahagian tanam-tanaman itu atas sebahagian yang lain tentang rasanya. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir.” [Surah Ar-Ra’du : ayat 4]

“Lalu dia diseru dari sebelah bawahnya:” Janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai. Dan gegarlah ke arahmu batang pohon kurma itu, supaya gugur kepadamu buah kurma yang masak.” [Surah Maryam : ayat 24 – 25]

“Sesiapa makan 7 biji kurma ajwa setiap pagi maka terpeliharalah dia pada hari itu dari racun atau sihir.” [HR Ahmad, Bukhari, Muslim, Abu Daud dan lain-lain, dari Sa’ad ibnu Abi Waqqas]

Imam Ibnu Qoyyim mengatakan, “Tentang khasiat 7 biji maka itu merupakan ukurannya dan ketentuan dari Allah S.w.t, sebagaimana Allah ciptakan langit yang 7, bumi yang 7, hari yang 7, kesempurnaan ciptaan manusia dalam 7 tahap, penetapan tawaf 7 kali, sa’i antara Safa dan Marwah 7 kali, melempar jamrah 7 kali masing-masing dan sebagainya. Maka tidak perlu diragukan bahawa bilangan 7 ini mempunyai khasiat yang tersendiri.” [Pengubatan cara Nabi S.a.w]

7 – Delima (Rummaan)

“Pada keduanya juga terdapat buah-buahan, serta pohon-pohon kurma dan delima,” [Surah Ar-Rahman : ayat 68]

“Dan Dia lah (Allah) yang menjadikan (untuk kamu) kebun-kebun yang menjalar tanamannya dan yang tidak menjalar; dan pohon-pohon tamar (kurma) dan tanaman-tanaman yang berlainan (bentuk, rupa dan) rasanya; dan buah zaiton dan delima, yang bersamaan (warnanya atau daunnya) dan tidak bersamaan (rasanya). Makanlah dari buahnya ketika ia berbuah, dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya; dan janganlah kamu melampau (pada apa-apa jua yang kamu makan atau belanjakan); sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau.” [Surah Al-An’aam : ayat 141]

“Buah delima dan kulitnya dapat menguatkan penghadaman (perut)”. [HR abu Nu’aim dan Al-Jauzi, dari Ali bin Abi Thalib]

Manisnya buah delima itu bersifat panas dan lembab, bagus untuk perut dan juga untuk menguatkannya, kerana mempunyai daya cengkeram yang lembut, bermanfaat juga untuk dada, tenggorokan dan paru-paru. Boleh merawat batuk, menambah pengeluaran mani dan membangkitkan seks. Tapi delima tidak bagus untuk orang yang sakit demam. [Imam Ibnu Qayyim – Zaadul Ma’ad, Perubatan ala Nabi]

8 – Susu (Laban)

“Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terbit dari dalam perutnya, yang lahir dari antara najis dengan darah; (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.” [Surah An-Nahl : ayat 66]

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” [Surah Luqman : ayat 14]

Rasulullah S.a.w juga bersabda, “Tidak ada satu pun makanan atau minuman yang dapat menghilangkan lapar dan dahaga sebaik susu.” [HR At-Turmudzi & Abu Dawud. Hadis hasan, dari Ibnu ‘Abbas]

Susu yang paling baik ialah yang baru saja diperah. Kualitinya berkurang bersama waktu yang berjalan. Susu yang baru diperah lebih minimum tingkat kedinginannya dan lebih banyak tingkat kelembapannya. Yang paling baik ialah yang paling putih warnanya, baik baunya, lazat rasanya, sedikit manis, diperah dari haiwan yang masih muda dan sihat, tidak terlalu gemuk dan tidak terlalu kurus, digembala di tempat yang baik……. Susu kurang baik bagi orang yang demam, pening kepala dan kepala terasa berat. Terlalu banyak meminumnya boleh mengganggu pandangan mata dan nyeri persendian. [Imam Ibnu Qayyim – Zaadul Ma’ad, Perubatan ala Nabi]

9 – Makanan Laut (Seafood)

“Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran; tetapi diharamkan atas kamu memburu binatang buruan darat selama kamu sedang berihram. Oleh itu, bertaqwalah kepada Allah, yang kepadaNya kamu akan dihimpunkan.” [Surah Al-Ma’idah : ayat 96]

10 – Madu (‘Asal)

“Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: “Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu”. (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir.” [Surah An-Nahl : ayat 68 – 69]

“Hendaknya kamu menggunakan dua macam penawar; madu dan al Qur’an.” [HR Ibnu Majah dan al Hakim dalam Sahih-nya]

11 – Jintan Hitam (Habbatus Saudaa’)

Rasulullah S.a.w bersabda, “Sesungguhnya di dalam habbatus sauda’ terdapat penyembuh bagi segala macam penyakit kecuali kematian.” [HR Bukhari no. 5688 dan Muslim no. 2215, ini lafaznya Muslim, dari Abu Hurairah r.a]

Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah berkata; “Jintan hitam memiliki banyak sekali khasiat. Erti dari sabda Nabi, “Penawar segala jenis penyakit”, seperti firman Allah, “Menghancurkan segala sesuatu dengan perintah Rabb-nya”, yakni segala sesuatu yang boleh hancur. Banyak lagi ungkapan-ungkapan sejenis.

Biji hitam ini mempunyai sifat panas dan kering tahap ketiga. Boleh (ikhtiar) menghilangkan angin di perut, mengeluarkan cacing, ubat untuk Lepra, Malaria, membuka yang tersumbat dan mengeringkan kelembapan di perut, melancarkan air kencing dan haid. Lemaknya untuk menghindari sengatan ular berbisa, merawat flu dan sesak nafas, boleh untuk berkumur dan merawat sakit gigi.” [Imam Ibnu Qayyim – Zaadul Ma’ad, Perubatan ala Nabi]

12 – Anggur (‘Inab)

“Kemudian, Kami tumbuhkan untuk kamu dengan air itu, kebun-kebun tamar (kurma) dan anggur. Kamu beroleh dalam kebun-kebun itu (berbagai jenis lagi) buah-buahan yang banyak, dan dari kebun-kebun itulah kamu beroleh rezeki penghidupan kamu.” [Surah Al-Mu’minuun : ayat 19]

Anggur mengandungi zat besi dan gula yang sangat bermanfaat untuk meningkatkan produksi darah, bermanfaat bagi para penderita lever, berguna untuk ginjal serta pencernaan. Anggur merangsang berfungsinya ginjal dengan mengeluarkan air yang berlebihan dari tubuh melalui air kencing, dengan demikian anggur juga menurunkan tekanan darah. Selain itu, anggur juga berkhasiat untuk ubat bronchitis, batuk, menguatkan jantung dan sangat baik untuk kulit. [Dr. Dianova Anwar]

13 – Tiin

“Demi buah tiin dan zaitun. Dan demi bukit Sinai.” [Surah At-Tiin : ayat 1 – 2]

Buah tiin adalah buah yang banyak hidup di daerah Syam atau Damsyik (Syria). Buah ini mengandungi omega 3 dan omega 6, iaitu sejenis lemak yang berfungsi untuk mencegah penyakit jantung. Kandungan antioksidan yang ada di dalam buah tiin dapat menghalangi karsinogen penyebab penyakit kanser, sehingga buah tiin adalah buah anti kanser. Buah tiin juga mengandungi kadar lemak rendah, sodium rendah bebas kolestrol, sehingga sangat baik dikonsumsi bagi orang-orang penderita penyakit diabetes atau gula. Selain itu tiin juga sangat bermanfaat bagi penderita penyakit asma. [Dr. Dianova Anwar]

14 – Tembikai / Betik (Bitthikh)

Abu Daud dan at-Turmudzi meriwayatkan dari Nabi S.a.w, bahawa baginda pernah memakan betik bersama kurma segar, seraya bersabda; “Kami menawarkan panasnya ini dengan dinginnya ini, menawarkan dinginnya ini dengan panasnya ini.” [HR Abu Daud , at-Turmudzi. Shahih]

Banyak hadits yang menyebutkan Bitthikh ini, tapi tak satu pun Shahih selain dari hadits ini. Betik mempunyai sifat yang dingin dan segar, di dalamnya terkandung air yang bersih, lebih cepat turun dari perut daripada mentimun dan mudah larut dalam cairan apa pun yang ada di perut. Betik sangat baik bagi orang yang merasa panas. Tapi jika dia merasa dingin, maka dapat dineutralkan dengan sedikit halia. Waktu memakannya adalah sebelum memakan makanan asasi. Jika tidak, maka boleh mengakibatkan muntah. [Imam Ibnu Qayyim – Zaadul Ma’ad, Perubatan ala Nabi]

15 – Mentimun

“Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa, kami tidak sabar (sudah jemu) dengan makanan yang semacam sahaja; maka pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya dikeluarkan bagi kami sebahagian dari apa yang tumbuh di bumi; dari sayur-sayurannya, dan mentimunnya, dan bawang putihnya, dan adas (kacang dalnya), serta bawang merahnya ……. ” [Surah Al-Baqarah : ayat 61]

“Saya melihat Rasulullah S.a.w makan kurma segar dengan mentimun.” [HR Bukhari]. Kemudian dikuatkan manfaatnya dalam hadits lain; “Yang panas dihancurkan dengan yang dingin, dan yang dingin dihancurkan dengan yang panas.” [HR Abu Dawud]

Secara umum dapat dikatakan, bahawa yang satu (kurma segar) adalah panas dan satunya lagi (mentimun) adalah dingin. Yang satu menghilangkan kesan negatif yang lainnya hingga keduanya menjadi seimbang. Ini merupakan asas segala macam penyembuhan dan asas dalam menjaga kesihatan. Bahkan semua ilmu kedoktoran berpijak kepada asas pengubatan ini. [Imam Ibnu Qayyim – Zaadul Ma’ad, Perubatan ala Nabi]

16 – Tsarid

“Kelebihan Aisyah daripada para wanita seperti kelebihan Tsarid daripada seluruh makanan.” [HR Bukhari dan Muslim]

Tsarid merupakan makanan campuran, dari roti dan daging. Roti merupakan makanan asasi yang paling baik dan daging merupakan lauk yang paling bagus. Jika keduanya dicampur, maka tidak ada makanan lain yang boleh menandinginya. [Imam Ibnu Qayyim – Zaadul Ma’ad, Perubatan ala Nabi]

17 – Keju (Jubn)

Abu Daud meriwayatkan dengan Sanad Hasan, dari Abdullah ibnu Umar dia berkata, “Nabi S.a.w pernah dihulurkan al-Jubn (keju) sewaktu di Tabuk. Maka baginda meminta pisau, membaca basmalah lalu memotongnya.”

Para sahabat juga pernah memakannya ketika berada di Syam dan Iraq. Keju yang tidak masin sangat baik untuk perut, mudah dicerna dan menambah kegemukan. Jika sudah dicampur dengan garam dan masin, manfaatnya tidak sebaik yang belum dicampur garam. [Imam Ibnu Qayyim – Zaadul Ma’ad, Perubatan ala Nabi]

18 – Garam (Milh)

“Pemimpin lauk kalian adalah garam.” [HR Ibnu Majjah, dari Anas bin Malik. Ibnu Majjah memarfu’kannya]

Garam baik bagi tubuh manusia dan makanan mereka, baik untuk segala benda apa pun yang bercampur dengannya, termasuk pula emas dan perak, sebab di dalamnya terkandung kekuatan yang boleh menambah kadar kekuningan emas dan kadar keputihan perak. Di dalamnya juga terkandung kejernihan dan penguraian, menghilangkan kelembapan yang menebal dan mengeringkan. Garam baik untuk badan, mencegah kerosakannya dan boleh merawat jangkitan. [Imam Ibnu Qayyim – Zaadul Ma’ad, Perubatan ala Nabi]

19 – Air Zam Zam

Dari Abu Dzar r.a, Rasulullah S.a.w bersabda, “Air zam-zam itu penuh berkah. Ia makanan yang mengenyangkan (dan ubat bagi penyakit).” [HR Muslim IV/1922, yang terdapat di dalam kurungan adalah menurut riwayat al-Bazzar, al-Baihaqi dan ath-Thabari dan sanadnya shahih, lihat Majma’uz Zawaa-id III/286]

Dan beberapa lagi yang mungkin tidak tersenarai di sini. Walaubagaimana pun, sebaik-baiknya tidak berlebih-lebihan dalam memakan atau minum sesuatu, kerana apa benda pun, jika terlalu banyak, boleh membahayakan.

Di samping itu, cuba kita tengok pada makanan-makanan yang kita makan hari ini, banyak yang jenis diproses dengan campuran bermacam-macam bahan dalam satu makanan. Ntah campuran banyak mana makanan dingin atau panas. Belum lagi disebut bab bahan-bahan kimia dalam makanan. Maka sebaiknya kita lihat kembali corak makanan kita. Biarlah RINGKAS asalkan BERKHASIAT dan SELAMAT.

Kita hanya mampu berikhtiar. Yang menyembuhkan segala penyakit dan memberikan kesihatan kepada kita hanyalah Allah S.w.t Yang Maha Penyembuh. Wallahu a’lam …….

http://www.islamituindah.com.my/2017/05/subhanallah-makanan-berkhasiat-yang.html